Sakit Tapi Redha
Oleh: Natalhia, Syazana Saiful, Najihah Azlan, Amiesha Abadi & Humaira Kahhar
Bekas Pramugari Derita Kanser Payudara
Meskipun setiap orang memiliki persepsi sendiri tentang definisi kecantikan, media dan iklan yang kita tonton di televisyen serta di majalah sering menampilkan model yang berkulit putih dan mulus.
Hal ini mempengaruhi masyarakat terutamanya golongan wanita untuk mengubah penampilan mereka dan menghabiskan banyak duit untuk kelihatan seperti model yang diidolakan.
Bagaikan mimpi ngeri bagi seorang wanita apabila diberitahu bahawa dia menderita penyakit kanser payudara akibat penggunaan drip pemutih kulit.
Seorang bekas pramugari yang hanya mahu dikenali sebagai Ladyvin telah menghidap kanser payudara selama dua tahun sejak 2019. Menurutnya, dia berada pada tahap dua hingga tiga ketika itu dan sangat hampir kepada tahap kritikal.
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
Mangsa, Ladyvin.
“Secara keseluruhannya, kos rawatan yang perlu ditanggung untuk merawat kanser mencecah sehingga RM400,000 dalam tempoh dua tahun," jelasnya.
Permulaan kisahnya, dia mula terjebak dengan rawatan drip pemutih kulit atau lebih dikenali sebagai ‘whitening drip’ kerana stereotaip seorang pramugari yang menganggap wajah adalah periuk nasi mereka.
​
Namun, memetik kenyataan Harian Metro, Ladyvin telah melakukan lebih daripada 50 rawatan drip pemutih kulit, bahkan di negara jiran. Bagi mendapatkan hasil yang lebih cepat, dia turut mengambil pil pemutih kulit.
Selepas dia menamatkan kerjayanya di awan biru, dia mula berkecimpung dalam produk kecantikan wanita.
Namun, apa yang menyebabkan dia membuak-buak melakukan rawatan itu adalah kerana terpengaruh dengan kenalannya yang juga pengasas produk kecantikan sepertinya.
"Rakan saya berkata sebagai pengasas produk kecantikan, kita kena putih melepak. Barulah orang percaya kita jual produk.
“Semasa muda, pemikiran saya masih jahil dalam menitikberatkan faktor keselamatan diri dan yang difikirkan saya ketika itu hanyalah ingin cepat putih," kata wanita berusia 46 tahun itu.
Bagi memenuhi hajatnya, dia mendapatkan rawatan drip pemutih kulit daripada doktor dan meletakkan sepenuh kepercayaan kerana beranggapan jika doktor menawarkan khidmat tersebut maka ianya selamat tetapi sebaliknya berlaku.
“Saya tidak mahu mengaibkan doktor tersebut kerana mahu menjaga privasi pusat rawatan kerana ia masih beroperasi.
“Mengapa saya memilih untuk tidak melaporkan pusat rawatan itu kepada polis kerana kesalahan ini datang daripada saya dan ia adalah kehidupan yang saya pilih, jadi saya perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri,” katanya tegas.
Tambahnya, barah ini membuatkan individu kehilangan pekerjaan, keluarga, penceraian kerana ramai suami di luar sana memfailkan cerai apabila isteri menghidap kanser payudara.
“Sukar untuk mempunyai suami yang boleh menerima kekurangan kita, dan bersama-sama menanggung beban yang berat ini.
“Hikmah di sebalik kejadian ini, jika saya tidak diuji, mungkin orang lain yang obses dengan kulit putih dan cerah akan menggelapkan masa depan mereka dalam jangka masa panjang terutama golongan muda yang mudah terpengaruh dengan kecantikan yang hanya dipinjamkan oleh pencipta," jelasnya dengan nada gusar.
Gadis Muda Tahan Sakit Demi Cantik
Ila bukan nama sebenar, gadis berusia 18 tahun itu merasakan rawatan drip pemutih kulit selamat kerana tiada kesan serius terhadap dirinya.
Bagaikan air titik ke batu, walaupun dia tahu akan keburukan titisan pemutih kulit, dia tetap mahu melakukan rawatan tersebut.
​
Ini berlaku kerana pengaruh media sosial yang mempamerkan keindahan drip pemutih kulit seperti maklum balas pelanggan yang berhasil menunjukkan perubahan positif dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Pada zaman dahulu, kita mungkin tidak ada sebarang isu mengenai perkara ini kerana dunia teknologi masih belum berkembang.
Namun, masih banyak cara yang boleh dilakukan untuk kelihatan cantik tanpa memudaratkan diri sendiri.
Sebelum Ila mula amalkan drip pemutih kulit, dia turut mengambil pil pemutih tetapi menurut dia hasilnya adalah perlahan.
Dia mula mengambil rawatan itu kerana hasilnya cepat dan muka nampak lebih cerah berbanding tona kulit sebelum ini.
“Untuk mendapatkan kesan putih dengan cepat dan mengekalkannya adalah dengan sentiasa konsisten dengan rawatan pemutihan kulit.
“Lebih lima hingga tujuh suntikan saya lakukan dan pada suntikan ketiga saya nampak perubahan pada kulit saya, iaitu muka saya tidak berjerawat, walaupun ketika haid.
“Semasa suntikan pertama, saya rasa macam nak mencuba sahaja tapi saya jadi obses dan terus konsisten dengan rawatan drip pemutihan kulit dua minggu sekali,” kata gadis itu.
Anggaran kos yang telah dibelanjakan mencecah RM1,000 kerana satu suntikan berjumlah RM250 dan sebulan RM500.
Jelas Ila, rawatan ini dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan ahli keluarga dan kenalannya. Dia berpendapat perkara ini tidak perlu dihebahkan kepada orang lain dan biarlah mereka yang tahu sendiri.
Lain pula pandangan seorang gadis berumur 18 tahun ini apabila dia ingin dirinya sahaja yang menjadi tumpuan.
Ila berkata jika rakan-rakannya ingin melakukan drip pemutihan kulit, mereka perlu berusaha sendiri dan tidak mengharapkannya.
​
Perspektif Agama: Cantik Jangan Sampai Memudaratkan Diri
Wanita dan kecantikan memang tidak boleh dipisahkan, tetapi jangan terlalu taksub untuk cantik sehingga memudaratkan kesihatan.
Namun, ada juga sebilangan pendapat yang mendakwa bahawa perubahan warna kulit seperti mengubah ciptaan ALLAH SWT.
Larangan mengubah ciptaan ALLAH jelas dinyatakan dalam sebuah hadis.
Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu dan wanita-wanita yang mencukur alis demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan ALLAH SWT.“ (Riwayat at-Tirmizi)
Pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da'i Adneen memberi penjelasan sekiranya produk pemutih yang digunakan bersifat kekal demi mencari kecantikan yang berlebihan atau tidak berpuas hati dengan kulit sedia ada tanpa alasan yang munasabah, malah produk yang digunakan boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, maka ia tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam.
Oleh itu, bersederhanalah dalam segala hal. Begitu juga dengan kecantikan. Jangan berlebihan. Itulah yang Islam ajar umatnya.