top of page

Obsesi Masyarakat
"Putih Itu Cantik"

Oleh: Natalhia, Syazana Saiful, Najihah Azlan, Amiesha Abadi & Humaira Kahhar

Ulasan Pakar Dermatalogi

 

Drip pemutihan kulit, dipercayai dapat mencerahkan kulit, tidak diiktiraf sebagai rawatan yang sah di Malaysia, dan penggunaannya adalah haram kerana berpotensi membahayakan kesihatan seseorang.

 

Malangnya, ketaksuban untuk memiliki kulit yang lebih cerah berterusan dalam kalangan ramai individu di Malaysia, kerana ia dianggap standard kecantikan masyarakat, sering membayangi keindahan warna kulit yang lebih gelap.

 

Pakar Dermatologi dan Perubatan di Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohan Arumugam, mengakui bahawa sesetengah individu memilih suntikan pemutihan kulit untuk mendapatkan penampilan yang lebih cantik dan anggun.

​
 

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

Pakar Dermatologi dan Perubatan di Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz,

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohan Arumugam.

​

“Individu yang mengambil servis rawatan ini selalunya tergolong dalam kalangan orang yang ingin menjadi lebih cantik ataupun sekadar ingin memutihkan kulit walaupun mereka tidak mempunyai masalah pigmentasi kulit,” katanya.

 

Produk pemutihan kulit telah berkembang daripada krim kepada pil dan rawatan intravena, tetapi sesetengah produk ini mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, kadmium, arsenik dan plumbum. 

 

Menurut Berita Harian, merkuri adalah bahan yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan sistem saraf, kerengsaan kulit, ruam dan memberi  kesan kepada bayi dalam kandungan.

 

“Pengambilan komponen tersebut dalam kuantiti yang banyak boleh membawa kepada masalah kesihatan yang teruk, termasuk kanser, kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati,” kata Dr Mohan.  

 

Beliau amat bimbang tentang komplikasi yang akan timbul akibat rawatan terlarang ini, sehingga boleh merosakkan organ lain. 

 

"Saya sarankan bagi individu yang mengalami masalah pigmentasi, tindakan yang sesuai adalah dengan menggunakan rawatan berasaskan krim di bawah bimbingan perubatan dan diiktiraf oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 

 

"Sebaliknya, rawatan drip pemutih kulit secara intravena boleh merebak ke seluruh badan, menjejaskan sistem dan organ lain serta membawa kepada kesan jangka panjang seperti ruam kulit dan juga keadaan maut seperti sindrom Steven-Johnson dan Nekrolisis Epidermis Toksik (TEN),"  jelasnya ketika ditemuramah oleh wartawan Rungkai.

 

Sekiranya kesihatan seseorang terjejas oleh rawatan pemutihan kulit, Dr Mohan menasihatkan agar segera mendapatkan rawatan perubatan untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. 

 

Rawatan terlarang yang menelan belanja ribuan ringgit tidak menjamin kepuasan abadi malah memudaratkan kesihatan luaran yang sempurna.

 

Perspektif peguam terhadap kes

 

Di Malaysia, drip pemutih kulit adalah dilarang, dan sesiapa yang didapati bersalah melakukan servis rawatan kecantikan yang tidak diluluskan itu boleh difailkan ke mahkamah.

 

Isu penjualan perkhidmatan yang melanggar undang-undang ini turut dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekitar 762 laman web dan media sosial digunakan sebagai medium penjualan produk pemutih kulit ini pada 2016 hingga 2018.

 

Berdasarkan kenyataan KKM, pihak atasan memberi tumpuan terhadap isu ini dan tindakan serius telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, dan domain yang berjaya menyekat sebanyak 60 laman web.

​

Sementara itu, Malaysia Gazette turut melaporkan sebanyak 187 premis menjual drip pemutih kulit dengan nilai rampasan RM287,202 pada 2019 hingga November 2021 yang diadukan kepada Kementerian Kesihatan.

 

Pengamal Undang-undang Tetuan Wan Hafarizam dan Aisha Mubarak,  Datuk Wan Azmir Wan Majid melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius kerana ia salah di sisi undang-undang.

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

​

 

Pengamal Undang-undang Tetuan Wan Hafarizam dan Aisha Mubarak,  Datuk Wan Azmir Wan Majid.

​

​

Beliau menekankan untuk mengambil tindakan sewajarnya jika mangsa mempunyai bukti yang kukuh agar memastikan doktor palsu yang menjalankan suntikan pemutih kulit bertanggungjawab ke atas rawatan yang tidak diiktiraf ini.

 

“Terdapat dua aspek sekiranya seseorang ingin memfailkan saman terhadap peniaga suntikan pemutih kulit meskipun tidak ada kes yang direkodkan mengenai perniagaan itu, namun persoalannya adakah kemenangan berpihak kepada kita.

 

“Seseorang itu boleh memfailkan kes undang-undang terhadap peniaga yang menjalankan servis drip pemutih kulit, namun ia tidak menjaminkan kemenangan. 

 

“Kita harus memandang isu ini dari pelbagai sudut. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin mengetahui dia telah menerima rawatan daripada seseorang yang tidak berlesen. 

 

“Oleh itu, bukan hanya doktor palsu, malahan kita juga boleh dijatuhkan bersalah,” tambahnya.

 

Setelah lebih dari 20 tahun berada dalam bidang undang-undang, beliau menasihati mangsa untuk menyimpan bukti berkaitan rawatan tersebut untuk memudahkan urusan perundangan. 

 

“Jika anda mendapat kesan buruk terhadap kesihatan akibat rawatan tersebut, perkara pertama yang anda harus pastikan adalah butiran individu pengamal rawatan kecantikan palsu itu dan beserta bukti bayaran.  

​

“Kedua, anda harus menyimpan bukti yang berkaitan dengan lokasi rawatan kecantikan palsu tersebut. Kad temujanji dan tangkapan skrin (screenshot) perbualan di aplikasi WhatsApp juga boleh dijadikan bahan bukti,” tambah Azmir. 

 

Perkara-perkara ini ditegaskan oleh Azmir kerana mangsa harus mengumpul bukti kukuh terlebih dahulu untuk dikemukakan di mahkamah dengan fakta yang sahih dan diterima.

 

Menerusi kenyataan dari KKM, kes akan disiasat dan bukti yang mencukupi dapat memastikan kes tersebut dapat didakwa di mahkamah, kesalahan di bawah Peraturan-peraturanKawalan Dadah dan Kosmetik 1984 7 (1) (a) menekankan kesalahan individu yang menjual suntikan drip pemutih kulit.

 

Selain itu, individu boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952, iaitu individu yang akan didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

photo1689792030.jpeg
bottom of page